Friday, April 9, 2010

PUJAANKU MATEMATIK



Penaku lincah menari
Menelusuri satah cartesan kehidupan
Mencari sesaran liku-liku perjalanan
Ibarat fantasi di utopia diri
Bersama aksara angka infiniti.
Dalam modulus kubus mindaku
Aku cuba mencari sebuah kesimpulan
Pada semua hujah dan kebarangkalian
Walau longitud dan latitud membina sempadan
Aku tak pernah kenal erti putus asa
Kugeledahi setiap ceruk,
sudut tunduk dan dongak dunia
Berbekalkan bearing,
Ibarat kompas penunjuk semesta.
Jika suatu masa dulu,
Nenek moyangku cekap bermain sempoa
Hari ini,
Jari-jemariku pula ligat menekan Kalkulator saintifik ciptaan baru dunia
Berasetkan akal yan tekun bekerja
Segala kemelut persoalan Diselesaikan dengan kacang sahaja.
Namun,saat buntu berpusat di khatulistiwa diri
Dek penangan rumus yang berjela-jela
Kupilih dan kuatur lalu kugabung
Kerana intuisiku berbisik
Pilihanku perlu tepat
Aturanku perlu cepat
Supaya hasilnya tampak hebat.
Aku sudah lali dengan hentaman rumus berangka
Yang kadang aku sendiri tidak tahu untuk apa
Jalan kerja yang panjang berjela
Kadang menuntut digubah,
disongsang atau apa sahaja
Dan implikasinya,
Graf fungsi kuadratik bibirku turut berkala
Saat mendapat kecerunan positif
Asyik menguntum senyum sahaja
Namun,tatkala di kecerunan negatif
Masam mencuka pula.
Tanpa sedar,larian tintaku main pantas Memecut,
meninggalkan titik asalan
Meluncur…mencari fungsi menjadi teman
Dan tika itu,si objek sudah asyik bercinta dengan imejnya
Sehati dan sejiwa
Kadang menyongsang, kadang mengubah
Lalu graf kuadratik terlakar indah
Terbang di awan buat memetik bintang maksimum
Rebah,tersungkur di bumi buat mencari minimum
Tapi,sayang…terluka pula di persilangan.
Kasihku tak mungkin hilang hingga akhir nyawa
Padamu Matematik kusayang
Biar kau menyusur akar
Bisamu tak hilang,taringmu tak patah
Kerana tiada apa yang berubah
Kerana kau karun pusaka dunia
Menabur ilmu,melakar sejarah
Wahana pemikiran intelek
Dalam menguji sejauh mana kemampuan diri
Jangan sampai berguling tak puas hati.


(johan sajak matematik tunas saintis menengah atas 2004)